Selamat Datang Ke Unit Hal-Ehwal Murid
Juliyana binti Herman
Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid
Kembali lagi kita meneruskan perjuangan sebagai pendidik dalam tahun 2020. Sudah lima tahun menelusuri Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(2013 – 2025), pastinya kita telah terasa bahang transformasi yang telah melonjakkan pembangunan kendiri kita . Sekarang kita mula memasuki gelombang kedua PPPM. Dalam bidang pengurusan Hal Ehwal Murid (HEM), yang sentiasa berpaksikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan , peranan kita sebagai guru yang mendidik adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani ; insyaAllah berjalan dengan lancar. Tahniah guru-guru yang sentiasa bertungkus-lumus ke arah itu. Harapan agar kita dapat melonjakkan lagi paradigma bersama gelombang seterusnya.
Keterlibatan guru dalam bidang pengurusan HEM merangkumi :
* Pembangunan Pelajar ( keselamatan, kebajikan dan disiplin )
* Pengurusan ( rekod-rekod dan pendaftaran )
* Pembangunan Organisasi ( hubungan komuniti dan pembangunan profesionalisme )
Dalam bidang pembangunan pelajar, aspek disiplin merupakan aspek yang paling mencabar dalam bidang HEM. SK Pandan Jaya juga tidak terkecuali, namun masih di tahap baik dan terkawal. Pengertian disiplin yang bermaksud kesanggupan individu iaitu murid mematuhi undang-undang atau peraturan sekolah, menghormati hak individu lain, mengamalkan tingkah laku yang baik, tolong-menolong dan sedia berkhidmat kepada diri sendiri, sekolah dan masyarakat ; menjadi suatu aspek yang berterusan untuk diuruskan oleh para guru . Kesabaran tanpa rasa jemu dan kebijaksanaan para guru jugalah yang membantu kelancaran urusan. Kejayaan melahirkan individu atau murid yang bersahsiah dan berjaya dunia dan akhirat adalah amat diharapkan.
“Kejayaan adalah jumlah usaha yang kecil, dilakukan setiap hari dan berulang kali”
( Robert Collier, pengarang bestseller dan penerbit “The Secret of the Ages” )
Akhhirnya, sama-samalah kita mengorak langkah mengikut arus transformasi dan inovasi tanpa membelakangkan pekeliling-pekeliling yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan membuat keputusan seiring keputusan pemimpin sekolah demi kemantapan institusi SK Pandan Jaya. Semoga Allah mempermudahkan dan melancarkan segala usaha kita.
Amin. Terima kasih.
“ Tetapkan matlamat dan kemudian susun aktiviti demi kemenjadian anak didik kita ”
JULIYANA BINTI HERMAN
( Penolong Kanan HEM )
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------